Langkau ke kandungan utama

Dari Sebalik Tirai, Kami Lihat Keindahanmu

Tempohari hari, seperti yang dirancang, aku dan Zura ke Sunway Medical Centre. Ianya pusat perubatan paling hampir dengan rumah kami. Berbekalkan pengetahuan bahawa ada promosi istimewa, Zura mahu membuat imbasan 2D/4D anak di dalam kandungannya. Aku teruja sejak beberapa minggu lalu. Inilah kali pertama kami bakal melihat anak dalam kandungan. Selama ini aku hanya dapat merasai pergerakannya saja apabila telapak tangan aku diletak atas perut Zura. Sekali sekala terasa bayi dalam kandungan seperti menolak-nolak tangan ini. Aku tersenyum setiap kali ianya berlaku.

Petang itu kami masuk ke bilik imbasan bertemankan seorang pegawai perubatan. Ianya sekadar imbasan, tiada konsultansi. Kami fikir tidak perlu konsultansi tambahan kerana setiap bulan Zura pergi memeriksa kandungannya di klinik. Jadi, kami hanya mahu melihat pergerakan dan 'gambar' bayi dalam kandungan.

Setelah beberapa detik menanti melihat pegawai perubatan itu menyapu cecair dan meletak alat mengimbas di atas perut Zura, kelihatan sosok samar di skrin TV hadapan kami. Itu dia, si bayi kecil sedang damai di dalam perut ibunya. Tidak tahu lagi dunia ini bagaimana keadaannya; manis dan masamnya kehidupan ini.

Hello you...

Sukar hendak dihuraikan perasaan ketika itu, segalanya bercampur baur. Aku tahu ada tangisan di mata Zura.

Syukur dengan apa yang dilihat. Bayi di dalam rahim ibunya sihat walfiat, sempurna sifat dan keadaannya. Apa lagi yang hendak dipinta melainkan dipermudahkan urusan ketika melahirkannya ke dunia nanti.

"Chubbynya baby..." Kata pegawai perubatan.

Kami hanya tersenyum. Teringat foto lama ketika aku kecil. Pipi tembam.

"Mestilah, ikut ayahnya waktu kecil dulu..." balas aku sambil tersenyum.

Bayi kami nampak pemalu. Menutup separuh mukanya dari dilihat oleh kami. Kaki rapat tertutup, menyukarkan lagi pegawai perubatan dan kami untuk menentukan jantinanya. Sesekali, beliau menguap luas dalam perut ibunya. Kemudian membuka tutup mulutnya seperti cuba mengatakan sesuatu kepada kami. Mungkin kami mengganggu waktu tidurnya.  

Dia Menguap Luas, Kami Ketawa Melihat Telatahnya

Lama pegawai perubatan mencari sudut yang sesuai untuk merakam gambar dan cuba melihat jantina si bayi. Akhirnya petanda yang dicarinya ditemui. Sambil tersenyum, pegawai perubatan berkata,

"Saya sudah nampak jantinanya"
"Apa, lelaki ke?" Aku sepantas kilat bertanya.

"Nampak ada tiga garis ini..." sambil menunjuk pada skrin. "Ianya petunjuk bahawa bayi ini adalah perempuan" sambung pegawai perubatan.

Aku dan Zura tersenyum. Syukur. Lelaki atau perempuan tidak penting. Kami terima dengan redha. Terus saja aku berpaling ke arah Zura dan berkata,

"Che Embun!"

Ketawa?

Serentak itu juga Zura menampar bahu aku. Che Embun adalah gelaran aku kepada si bayi dalam perut Zura. Kami bercadang untuk memberi nama melayu klasik kepada bayi kami. Aku bergurau dengan Zura bahawa sekiranya anak kami itu perempuan, aku mahu namakan Che Embun.

Tidak, kami tidak akan namakan anak kami Che Embun. InshaAllah namanya nanti membawa maksud yang baik. Sebolehnya tidak terlalu Arabik, lebih bersifat Melayu. Zaman sekarang orang kita sudah meninggalkan nama-nama Melayu yang sangat indah bunyinya. Padahal nama-nama tersebut masih juga membawa maksud yang baik. Orang sekarang lebih teruja memberi nama berbunyi Arabik tetapi ejaannya kebaratan atau selagi boleh, menggunakan huruf-huruf janggal. Biarlah anak kami nanti mempunyai nama yang baik dan mudah disebut. 

Dua bulan dari sekarang, inshaAllah. Kami menunggumu wahai sang puteri.

Ulasan

  1. awwww... che embun cute !

    bestnyerr :D

    BalasPadam
  2. lelaki atau perempuan itu bukan persoalannya...yang penting bagaimana ibu dan bapa mencorak mereka ini...kalau lelaki akhirnya jadi peliwat, perogol, pembunuh, penagih dadah nak buat apa! Yang penting akhirnya zuriat kita inilah yang meneruskan generasi Islam yang kita cintai...agar tidak pupus di masa hadapan..

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MRSM Balik Pulau (Koleksi Foto) - Part 1

Malas pula hendak bercerita mengenai Homeroom. Baik aku tunjukkan koleksi gambar yang diambil pada tahun 2003 semasa reunion MRSM Balik Pulau ketika itu. Ada lagi gambar yang akan diupload kemudian nanti. Banyak. Aku fikir ada baik aku kembali kesana suatu hari nanti untuk aku ambil gambar yang lebih baik. Ini pun guna kamera digital Kodak 3.2 megapixel. Model di atas adalah Meor. Ini sebenarnya pada zaman aku dulu merupakan kaunter untuk segala pembayaran yang berkaitan dengan yuran pembelajaran maktab. Kalau tak salah aku ianya adalah sebanyak RM30 setiap bulan. Disini juga kami akan terima wang saku daripada MARA berjumlah RM25 bagi sesiapa yang layak. Segala keputusan, slip periksa dan apa saja urusan dengan pejabat, semuanya disini. Kaunter segera tepi tingkap. Ini sebenarnya pentas dalam dewan besar maktab. Aku masih ingat semasa menjadi 'sound engineer' untuk drama arahan Amron Roni. si Amron ni pernah jadi produser untuk rancangan sembang-sembang Chef Wan di TV9 tidak l

Cikgu Zul & SmartLearning

Cikgu Zul Kawan-kawan MRSM Balik Pulau hingga 1991, siapa pernah kenal dengan Cikgu Zulkifli Kassim (Cikgu Zul)? Beliau adalah antara pelopor SmartLearning di Malaysia suatu ketika dahulu dan aku adalah antara pelajar-pelajar yang bertuah dapat mempelajarinya dari pakar SmartLearning sendiri. Ada dua tiga orang lagi tenaga pengajar SmartLearning tapi aku sudah lupa nama mereka. Tapi aku sentiasa ingat Cikgu Zul. Berbadan besar tapi lembut tutur kata. Kali terakhir sebelum dia meletak jawatan sebagai guru di MRSM Balik Pulau, dia guna kereta Mitsubishi Galant besar. Pada masa pelajar lain sibuk dengan kaedah belajar biasa, kami di MRSM Balik Pulau sudah pun dilatih menggunakan kaedah SmartLearning; kaedah peta minda, kaedah study smart dan banyak kaedah-kaedah yang kalau masa sekarang, orang nampak biasa. Ya, aku ingat apabila aku ke UiTM (masa tu ITM) dan melukis awan-awan (peta minda) sebagai nota, member-member nampak pelik. Mereka fikir aku sedang buat ajaran sesat. Sebentar tadi ak

Mahu Beli Kamera DSLR? Baca Sini Dulu

Kebelakangan ini aku ditanya oleh beberapa orang rakan mengenai kamera DSLR (digital single-lense reflex). Seperti kamu sendiri sedia maklum, kamera DSLR adalah gajet terkini yang 'perlu' dimiliki. Orang ramai sudah tidak memandang kepada kamera digital biasa, sebaliknya terus ingin membeli DSLR. Mungkin kerana kamera DSLR yang tergantung di leher adalah cool atau pemilik itu benar-benar minat dengan fotografi, tidak dinafikan kamera DSLR semakin menarik minat ramai orang. Dulu, memang agak sukar untuk temui orang di sana sini memegang atau menggantung di leher sebuah kamera SLR yang besar 'gedabak'. Orang lebih selesa dengan kamera digital biasa yang boleh disimpan di dalam poket atau sarung. Ringan dan mudah. Tetapi mungkin kerana terdapat batasan keupayaan kamera digital biasa, maka DSLR sekarang semakin banyak kelihatan di tangan orang ramai. Satu lagi punca paling jelas, sebuah kamera DSLR sekarang boleh dimiliki dengan harga kurang RM2000. Model asas seperti Canon