Langkau ke kandungan utama

Ambil Yang Baik

Ada perkara yang kita boleh kritik, jika ianya tidak bagus (dari sudut pandangan kita). Ada perkara yang kita boleh terima dengan baik dan menyokongnya. Aku begitu. Sini, ada beberapa perkara kerajaan sedang dan ingin lakukan yang aku fikir sangat bagus dan patut aku sokong.

HSR dari Pulau Pinang ke Singapura

High Speed Rail (HSR) atau Keretapi Berkelajuan Tinggi adalah mod pengangkutan yang sangat efisien terutama di negara seperti Malaysia. Aku rasa sudah sampai masanya kerajaan kurangkan pembinaan lebuhraya banyak lorong dan tumpukan kepada pembangunan keretapi laju/elektrik sebagai bentuk transportasi efisien.

HSR dengan kelajuan lebih 250km/j boleh menjimatkan masa perjalanan dengan ketara berbanding lebuhraya. Malah secara rasional juga, ianya lebih selamat berbanding pengangkutan lain, kecuali kapal terbang. Ia juga boleh memaju pembangunan ekonomi negara dengan lebih cekap dan menyeluruh.

Cuma, kalau boleh, HSR sepatutnya melingkari seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.  Kita tahu, dari skel ekonomi, keretapi laju dari Kota Kinabalu ke Kuching nampak tidak membawa apa-apa manfaat. Tetapi ianya sama seperti pembangunan lebuhraya utara selatan di pantai barat Semenanjung dulu. Sekarang kita boleh lihat apa yang berlaku terhadap kawasan di sepanjang lebuhraya.

Kita juga tidak boleh abaikan pantai timur Semenanjung. Malah ianya patut dijadikan keutamaan kerana dengan adanya mod pengangkutan awam yang lebih pantas dari pantai barat ke pantai timur, pembangunan sebelah pantai timur dijangka akan lebih pesat. Ini boleh mengurangkan proses imigrasi orang dari pantai timur ke kota-kota di pantai barat, sekaligus boleh mengurangkan kesesakan yang sedang berlaku terutamanya di Lembah Klang.

Orang kata pembangunan HSR dari Pulau Pinang ke Singapura akan menguntungkan Singapura kerana lebih ramai tenaga kerja Malaysia akan mahu bekerja di sana. Aku fikir sebaliknya. Aku jangkakan kawasan berhampiran laluan HSR akan mengalami pertumbuhan akibat daripada limpahan penanaman modal daripada pengusaha dari Singapura. Jangkamasa perhubungan yang singkat membenarkan pengusaha dari Singapura membina kilang dan infrastruktur di Malaysia tanpa perlu mereka berpindah ke sini untuk memantaunya.

Lihat di negara Jepun, kebanyakan negara Eropah Barat dan sekarang China. Pembangunan HSR secara umumnya membantu meningkatkan efisiensi perhubungan mereka, seterusnya membantu meningkatkan ekonomi negara masing-masing.

Gagasan 1Malaysia

Panggil apa pun; 1Malaysia atau Malaysian Malaysia atau Middle Malaysia. Paling penting yang perlu ada di negara yang sedang membangun seperti Malaysia ini adalah kesamaan hak dan keterbukaan. Kita tidak boleh lagi tinggal di bawah tempurung bangsa masing-masing.

Aku masih tidak faham kenapa orang melayu begitu takut dengan keterbukaan sedang mereka sedar bahawa hak-hak orang melayu sentiasa terpelihara melalui Perlembagaan. Sepatutnya kita perlu sedar, yang memundurkan orang melayu adalah orang melayu itu sendiri. Kita tidak mahu bebas dari kepompong budaya dan agama.

Aku bukan suruh tolak agama, tolak budaya. Agama adalah petunjuk asas cara hidup kita. Paling mudah; jujur ketika berurus niaga, tidak mengamalkan rasuah dan tidak menjalankan aktiviti ekonomi yang memudaratkan. Tetapi budaya rasuah itu seperti tidak sedar ianya sering sangat berlaku di kalangan orang melayu sendiri.

Budaya boleh kita kekalkan. Kalau Jepun yang maju (sangat-sangat maju) boleh terus membangun dan dalam masa yang sama masih mengekalkan pengaruh budaya, kenapa kita tidak boleh? Aku sering mendengar instrumental muzik tarian melayu. Kadang-kadang aku dicemuh kerananya. Aku tidak salahkan mereka. Persekitaran yang menyebabkan mereka menolak budaya. Saban hari kita disumbat dengan budaya lain terutama melului media arus perdana kita sendiri.

Aku sering tekankan bahawa untuk menjadi satu negara yang mempunyai bangsa yang bersatu padu, kita perlu mulakan dari sekolah lagi. Sekolah di Malaysia WAJIB mempunyai SATU aliran saja. Kita sudah tidak perlu sekolah aliran Cina, India dan Agama. Kita sudah 53 tahun merdeka. Adakah wajar kita mengekalkan sekolah aliran bangsa dan agama? Sekolah Nasional perlu diwujudkan tanpa mempunyai pengaruh elemen mana-mana bangsa sekalipun. Selalu kita lihat, Sekolah Kebangsaan sekarang sentiasa mempunyai elemen melayu dan sering juga diselit dengan elemen agama Islam. Bagaimana kita mahu menarik minat bukan melayu dan bukan Islam untuk belajar di sekolah sebegitu? Sekolah Nasional mestilah bersifat kebangsaan secara total. Guru-guru perlu dilatih untuk mengenepikan semangat bangsa masing-masing dan mengutamakan Bangsa Malaysia sebagai model membentuk anak-anak muda. Agama tidak perlu disisihkan secara total dari sekolah. Sebaliknya agama boleh diajar di sekolah berasingan; sekolah yang lebih komprehensif. Sekolah Nasional dibiarkan untuk mengajar ilmu dunia dan bahasa pengantar utama adalah Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi. Bahasa Inggeris diwajibkan kepada semua pelajar. Bahasa kaum boleh dijadikan bahasa ketiga dan setiap pelajar dimestikan mengambil bahasa kaum ini sebagai mata pelajaran elektif. Ini termasuk orang melayu sendiri.

Universiti juga sepatutnya begitu. Terbuka dan berdasarkan meritokrasi. Tetapi kita tidak boleh nafikan peratusan bangsa penduduk sebagai aspek yang perlu juga diambil kira. Malah tempat kerja juga begitu, baik di sektor awam, mahupun sektor swasta. Peratusan anggota kerja mestilah seimbang dengan peratusan bangsa yang ada di Malaysia. Jadi tidak perlu ada kewajiban untuk pemilikan syarikat mesti ada peratusan bumiputra atau tidak. Kerajaan boleh secara efektif memantau peratusan bangsa yang bekerja di sesuatu organisasi. Mungkin kita boleh usulkan, dalam satu-satu masa, satu syarikat tidak boleh mengandungi peratus pekerja satu bangsa melebihi 60%.

Semua usul di atas adalah permulaan ke arah mewujudkan Bangsa Malaysia. Bila idea dan 'roh' Bangsa Malaysia sudah terserap sepenuhnya dalam sanubari seluruh rakyat Malaysia, mereka tidak akan lagi kenal dan membezakan sesama sendiri mengikut bangsa asal mereka. Sebaliknya mereka akan kenal semasa sendiri sebagai Bangsa Malaysia secara total.

Aku faham, aku sedang bayangkan situasi yang 'terlampau ideal'. Sekurang-kurangnya kita boleh cuba.

Perkhidmatan Awam Yang Lebih Efisien

Umum sedia maklum, sekarang terdapat lebih kurang 1.2 juta penjawat awam di Malaysia. Seorang dari setiap 28 orang yang ada di Malaysia ini adalah penjawat awam. Aku fikir nisbah 1:28 ini adalah terlalu tinggi. Lebih jelas, orang ramai masih mengkritik dan membuat komen terhadap mutu perkhidmatan yang diberikan oleh penjawat awam.

Pada pendapat aku, 1.2 juta penjawat awam adalah satu pembaziran. Bukan saja pembaziran dari segi ekonomi, ianya juga pembaziran dari segi masa dan 'talent'. Perkhidmatan awam perlu lebih efisien. Perkara pertama yang perlu dibuat adalah mengurangkan jumlah penjawat awam. Streamline. Kita tidak perlu pecat atau buang kerja. Sebaliknya kita kurangkan jumlah pengambilan penjawat awam hingga ianya mencapai tahap yang difikirkan sesuai. Untuk sebuah negara yang membangun seperti Malaysia, aku fikir had jumlah penjawat awam yang sesuai adalah sekitar 500 ribu. Itu pun sudah terlalu tinggi jika dibandingkan dengan negara lain. 700 ribu selebihnya boleh diserapkan kedalam sumber ekonomi lain.

Kerajaan perlu pertimbangkan untuk menaikkan tahap gaji minima semua sektor pekerjaan untuk menarik minat rakyat Malaysia bekerja di sektor-sektor yang sekarang ini dikuasai oleh pekerja asing. Sudah sampai masa Malaysia meninggalkan tag "kos rendah" dan naik ke tahap efisiensi tinggi. Efisiensi tinggi memerlukan kos tenaga kerja yang mahal. Tetapi kita tidak perlu menggaji jutaan pekerja asing yang rakyat sering komplen menyusahkan dan menimbulkan masalah sosial lain.

Penilaian tahap mutu kerja penjawat awam juga perlu diubah. Kaedah sekarang yang bersifat membodek sangat-sangat tidak bagus dan tidak membantu meningkatkan mutu kerja. Penjawat awam perlu 'earn' jawatan yang dipegang. Sekarang mereka rasa selamat kerana tidak ada 'cara ugutan' untuk mereka 'perform'. Jadi ada yang datang bekerja, sekadar duduk baca surat khabar dan menunggu waktu balik kerja. Mereka tidak takut dengan tindakan tatatertib yang boleh dikenakan kerana mereka tahu kerajaan sangat 'bertimbang rasa'.

Oh, bila sudah kurangkan jumlah penjawat awam, naikkan juga gaji. Ianya penting sebagai sumber motivasi kerja mereka.

====

Dalam semua perkara yang aku sokong, aku tidak menceritakan negatifnya. Aku tidak perlu ceritakan kerana ramai orang di Malaysia ini sering berfikir secara negatif. Mereka boleh beri 1001 sebab negatif terhadap semua ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MRSM Balik Pulau (Koleksi Foto) - Part 1

Malas pula hendak bercerita mengenai Homeroom. Baik aku tunjukkan koleksi gambar yang diambil pada tahun 2003 semasa reunion MRSM Balik Pulau ketika itu. Ada lagi gambar yang akan diupload kemudian nanti. Banyak. Aku fikir ada baik aku kembali kesana suatu hari nanti untuk aku ambil gambar yang lebih baik. Ini pun guna kamera digital Kodak 3.2 megapixel. Model di atas adalah Meor. Ini sebenarnya pada zaman aku dulu merupakan kaunter untuk segala pembayaran yang berkaitan dengan yuran pembelajaran maktab. Kalau tak salah aku ianya adalah sebanyak RM30 setiap bulan. Disini juga kami akan terima wang saku daripada MARA berjumlah RM25 bagi sesiapa yang layak. Segala keputusan, slip periksa dan apa saja urusan dengan pejabat, semuanya disini. Kaunter segera tepi tingkap. Ini sebenarnya pentas dalam dewan besar maktab. Aku masih ingat semasa menjadi 'sound engineer' untuk drama arahan Amron Roni. si Amron ni pernah jadi produser untuk rancangan sembang-sembang Chef Wan di TV9 tidak l

Cikgu Zul & SmartLearning

Cikgu Zul Kawan-kawan MRSM Balik Pulau hingga 1991, siapa pernah kenal dengan Cikgu Zulkifli Kassim (Cikgu Zul)? Beliau adalah antara pelopor SmartLearning di Malaysia suatu ketika dahulu dan aku adalah antara pelajar-pelajar yang bertuah dapat mempelajarinya dari pakar SmartLearning sendiri. Ada dua tiga orang lagi tenaga pengajar SmartLearning tapi aku sudah lupa nama mereka. Tapi aku sentiasa ingat Cikgu Zul. Berbadan besar tapi lembut tutur kata. Kali terakhir sebelum dia meletak jawatan sebagai guru di MRSM Balik Pulau, dia guna kereta Mitsubishi Galant besar. Pada masa pelajar lain sibuk dengan kaedah belajar biasa, kami di MRSM Balik Pulau sudah pun dilatih menggunakan kaedah SmartLearning; kaedah peta minda, kaedah study smart dan banyak kaedah-kaedah yang kalau masa sekarang, orang nampak biasa. Ya, aku ingat apabila aku ke UiTM (masa tu ITM) dan melukis awan-awan (peta minda) sebagai nota, member-member nampak pelik. Mereka fikir aku sedang buat ajaran sesat. Sebentar tadi ak

Mahu Beli Kamera DSLR? Baca Sini Dulu

Kebelakangan ini aku ditanya oleh beberapa orang rakan mengenai kamera DSLR (digital single-lense reflex). Seperti kamu sendiri sedia maklum, kamera DSLR adalah gajet terkini yang 'perlu' dimiliki. Orang ramai sudah tidak memandang kepada kamera digital biasa, sebaliknya terus ingin membeli DSLR. Mungkin kerana kamera DSLR yang tergantung di leher adalah cool atau pemilik itu benar-benar minat dengan fotografi, tidak dinafikan kamera DSLR semakin menarik minat ramai orang. Dulu, memang agak sukar untuk temui orang di sana sini memegang atau menggantung di leher sebuah kamera SLR yang besar 'gedabak'. Orang lebih selesa dengan kamera digital biasa yang boleh disimpan di dalam poket atau sarung. Ringan dan mudah. Tetapi mungkin kerana terdapat batasan keupayaan kamera digital biasa, maka DSLR sekarang semakin banyak kelihatan di tangan orang ramai. Satu lagi punca paling jelas, sebuah kamera DSLR sekarang boleh dimiliki dengan harga kurang RM2000. Model asas seperti Canon