Langkau ke kandungan utama

Politik Untuk Semua

I have found new respect for The Sun. Itu yang aku mahu sebut tetapi tiada istilah yang sesuai dalam Bahasa Malaysia. Aku temui rasa hormat kepada The Sun? Mungkin.

Kerana apabila aku membelek setiap mukasurat akhbar tersebut hari ini, aku rasa aku dapat membaca buat pertama kalinya sebuah akhbar yang neutral dari segi pandangan dan penulisan. Malah tidak keberatan untuk aku katakan walaupun ianya percuma, harga (value) akhbar The Sun adalah 10 kali lebih tinggi dari semua akhbar/media arus perdana lain.

Berita mengenai Pilihanraya Umum ke-12 disiarkan dalam keadaan neutral di mana berita mengenai parti Barisan Nasional dan parti-parti pembangkang adalah sekata dan tidak terlalu memihak kepada mana-mana kem. Itu yang sebaik-baiknya untuk semua media dalam memberi maklumat yang jelas dan adil kepada pembaca. Perlu diingatkan bahawa pembaca masa sekarang sudah bijak terutamanya golongan muda dan tidak terpengaruh dengan dakyah dan hasutan halus dalam penulisan-penulisan berita. Ini tahun 2008, bukan 1998, 1988 atau 1978.

Jangan beritahu aku bahawa The Sun itu lebih kurang sama juga dengan akhbar lain. Cuma kalau dilihat sekarang, ianya jauh lebih bagus dari The Star, Utusan Malaysia (lebih baik ditukar nama jadi UTUSAN PEMBODEK  BARISAN NASIONAL saja) dan lain-lain. Aku tidak ada apa-apa tentangan mengenai Barisan Nasional. Aku cuma mahu berita yang adil dan telus, sama rata dan tidak menggunakan kekuasaan yang ada untuk mengawal keadaan.

Lihat perang kempen pemilihan presiden di Amerika Syarikat. Sekurang-kurangnya negara yang dituduh oleh pembesar Malaysia sebagai menyekat kebebasan manusia masih lagi memberi kebebasan bersuara dan berpolitik dalam negara mereka sendiri. Parti-parti politik tidak kira dari mana mereka datang boleh dibicarakan dan boleh menggunakan media dengan adil dan sama rata. Itu yang penting. Maklumat yang sama rata.

Jadi jangan salahkan orang kalau mereka lebih percaya kepada blog dan penulisan-penulisan artikel politik Malaysia dalam internet. Kerana hanya di situ alternatif bagi golongan yang berfikir untuk membaca dan menilai keadaan persekitaran mereka dengan lebih jujur dan terbuka. Seperti seorang manusia yang disuapkan nasi sepanjang masa dan diberitahu bahawa nasi itu adalah segala-galanya yang diperlukan untuk hidup. Kalau manusia itu bebal, mungkin dia akan terima tanpa banyak soal. Tapi kalau manusia itu ada deria rasa dan citarasa, mungkin lama-kelamaan dia akan bosan dengan nasi. Dia mahukan yang lain. Dia mahu rasa yang lain. Kalau media masih bersifat mono dengan andaian setiap manusia di bumi Malaysia ini boleh menerimanya tanpa banyak soal, kamu media memang bodoh. Begitu juga ahli politik yang menguasai tampuk pemerintahan sekarang. Kamu juga bodoh kerana memikirkan setiap manusia di Malaysia ini boleh dilayan sebegitu.

Perlu ada dan aku fikir wajib diberi ruang untuk parti-parti pembangkang menyuarakan perjuangan mereka di media-media arus perdana tanpa halangan. Ini akan memberi ruang kepada orang ramai membuat penilaian yang jujur dan terbuka. Apa yang hendak ditakutkan kalau sudah 50 tahun pemerintahan Barisan Nasional dianggap bagus? Aku yakin kalau diberi ruang sekalipun, pembangkang tetap akan kalah kerana Barisan Nasional menggunakan data-data dan fakta-fakta yang terbukti dan sedia ada tanpa perlu bersusah payah untuk membuktikan keberkesanan pemerintahan mereka.

Tindakan menghalang dan mengawal media-media utama dari menyiarkan berita dan memberi ruang kepada pembangkang, ianya tidak ubah seperti tindakan orang-orang yang takut atau pengecut. Itu saja yang sesuai.

Kemudian kenyataan sesetengah ahli politik Barisan Nasional yang jelas kalau boleh mahu setiap orang memilih Barisan Nasional saja. Itu adalah ciri-ciri komunisme yang amat-amat jelas. Kamu tentu tidak mahu orang tuduh kamu berfahaman sosialis bukan? Manusia ada kehendak dan akal fikiran yang berbeza. Mereka bukan anjing yang kamu boleh latih untuk terima arahan dengan hanya meniup wisel dan seterusnya melakukan perkara yang sama setiap masa. Manusia boleh berfikir dan boleh bertindak mengikut kapasiti masing-masing. Setiap orang perlu diberi ruang untuk membuat tindakan masing-masing, bukannya disogok dengan nasi sepanjang masa.

Sebenarnya aku masih tercari-cari samada masih wujud media yang benar-benar neutral di Malaysia yang melaporkan berita-berita tanpa pengaruh politik baik dari Barisan Nasional (aku enggan menggunakan Kerajaan kerana ianya sudah dibubarkan) dan parti-parti pembangkang. Itu sebenarnya aspirasi golongan muda masa kini. Mahu sesuatu yang neutral. Aku pasti kebanyakkan golongan muda kini bukan pengikut mana-mana parti politik dan mereka akan memilih parti politik yang telus dan yang membawa keuntungan kepada mereka.

Satu lagi, iklan-iklan Barisan Nasional di dalam akhbar dan media arus perdana. Apa semua itu? Itu adalah statistik dan perkara-perkara wajib yang dilakukan oleh pemerintah. Tidak kira siapa mereka atau dari parti mana. Keselamatan, pendidikan, ekonomi dan apa saja yang dibangunkan untuk rakyat adalah tanggungjawab pemerintah a.k.a Kerajaan Malaysia. Baik ianya didokong oleh Barisan Nasional atau parti-parti pembangkang, semua itu WAJIB dilakukan untuk rakyat yang memilih mereka. Aku rasa ianya tidak wajar dijadikan sebagai statistik dan fakta untuk membeli undi. Itu adalah amat-amat tidak adil. Kenapa? Kerana sejak dari merdeka hingga sekarang, negara Malaysia cuma diperintah oleh Barisan Nasional. Kalau sebelum ini ada parti-parti politik lain yang memerintah dan gagal dalam pemerintahannya, maka fakta-fakta dan statistik itu boleh digunakan sebagai perbandingan.

Sekarang ianya hendak dibandingkan dengan apa? Hendak dibuat perbandingan dengan manifesto parti-parti politik lain? Hendak dibuat perbandingan dengan negeri Kelantan? Sedang negeri-negeri lain diberi peruntukan jauh lebih besar oleh kerajaan Persekutuan, negeri yang majoritinya penduduk melayu terus dipinggirkan kerana ianya diperintah oleh parti pembangkang. Atau mencabar parti-parti pembangkang untuk membuat seperti apa yang Barisan Nasional sudah buat? Aku tidak nampak di mana logiknya. Kalau lihat proses pencalonan presiden Amerika Syarikat yang sedang berlangsung sekarang terutamanya pemilihan calon presiden dari parti Demokrat di antara Barack Obama dan Hillary Clinton, sepanjang masa mereka berdebat berdasarkan manifesto dan janji-janji mereka. Mereka tidak berlandaskan kepada hasil kerja parti politik mereka semasa memerintah negara.

Itu sepatutnya. Membuat perbandingan dengan manifesto atau janji-janji sekiranya menjadi pemerintah. Bukannya menggunakan hasil pemerintahan sebagai janji atau perbandingan. Itu memang sangat-sangat tidak adil. Kerana semasa parti-parti politik memerintah, sepatutnya tidak ada lagi istilah Kerajaan Barisan Nasional, Kerajaan Pas atau Kerajaan DAP. Yang ada cuma satu, Kerajaan Malaysia. Apabila mana-mana parti politik menang pilihanraya dan membentuk kerajaan, maka yang ada hanya kerajaan Malaysia sahaja. Bukan Kerajaan Malaysia Pimpinan .

Kalau diletak juga Kerajaan , maka secara dasarnya kerajaan tersebut hanya berfungsi untuk ahli-ahli dan penyokong parti politik tersebut saja. Maka bagi aku istilah "Satu Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional" atau mungkin "Satu Lagi Projek Kerajaan PAS Kelantan" adalah salah dari segi etika dan undang-undang. Tidak wujud kerajaan Barisan Nasional atau Kerajaan PAS. Cuma wujud Kerajaan Malaysia yang berkhidmat untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira apa perjuangan politik mereka dan hanya wujud Kerajaan Negeri Kelantan yang berkhidmat untuk seluruh rakyat negeri Kelantan.

Kerana ini semua, aku masih tidak berminat hendak menyokong mana-mana parti politik di Malaysia.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MRSM Balik Pulau (Koleksi Foto) - Part 1

Malas pula hendak bercerita mengenai Homeroom. Baik aku tunjukkan koleksi gambar yang diambil pada tahun 2003 semasa reunion MRSM Balik Pulau ketika itu. Ada lagi gambar yang akan diupload kemudian nanti. Banyak. Aku fikir ada baik aku kembali kesana suatu hari nanti untuk aku ambil gambar yang lebih baik. Ini pun guna kamera digital Kodak 3.2 megapixel. Model di atas adalah Meor. Ini sebenarnya pada zaman aku dulu merupakan kaunter untuk segala pembayaran yang berkaitan dengan yuran pembelajaran maktab. Kalau tak salah aku ianya adalah sebanyak RM30 setiap bulan. Disini juga kami akan terima wang saku daripada MARA berjumlah RM25 bagi sesiapa yang layak. Segala keputusan, slip periksa dan apa saja urusan dengan pejabat, semuanya disini. Kaunter segera tepi tingkap. Ini sebenarnya pentas dalam dewan besar maktab. Aku masih ingat semasa menjadi 'sound engineer' untuk drama arahan Amron Roni. si Amron ni pernah jadi produser untuk rancangan sembang-sembang Chef Wan di TV9 tidak l

Cikgu Zul & SmartLearning

Cikgu Zul Kawan-kawan MRSM Balik Pulau hingga 1991, siapa pernah kenal dengan Cikgu Zulkifli Kassim (Cikgu Zul)? Beliau adalah antara pelopor SmartLearning di Malaysia suatu ketika dahulu dan aku adalah antara pelajar-pelajar yang bertuah dapat mempelajarinya dari pakar SmartLearning sendiri. Ada dua tiga orang lagi tenaga pengajar SmartLearning tapi aku sudah lupa nama mereka. Tapi aku sentiasa ingat Cikgu Zul. Berbadan besar tapi lembut tutur kata. Kali terakhir sebelum dia meletak jawatan sebagai guru di MRSM Balik Pulau, dia guna kereta Mitsubishi Galant besar. Pada masa pelajar lain sibuk dengan kaedah belajar biasa, kami di MRSM Balik Pulau sudah pun dilatih menggunakan kaedah SmartLearning; kaedah peta minda, kaedah study smart dan banyak kaedah-kaedah yang kalau masa sekarang, orang nampak biasa. Ya, aku ingat apabila aku ke UiTM (masa tu ITM) dan melukis awan-awan (peta minda) sebagai nota, member-member nampak pelik. Mereka fikir aku sedang buat ajaran sesat. Sebentar tadi ak

Mahu Beli Kamera DSLR? Baca Sini Dulu

Kebelakangan ini aku ditanya oleh beberapa orang rakan mengenai kamera DSLR (digital single-lense reflex). Seperti kamu sendiri sedia maklum, kamera DSLR adalah gajet terkini yang 'perlu' dimiliki. Orang ramai sudah tidak memandang kepada kamera digital biasa, sebaliknya terus ingin membeli DSLR. Mungkin kerana kamera DSLR yang tergantung di leher adalah cool atau pemilik itu benar-benar minat dengan fotografi, tidak dinafikan kamera DSLR semakin menarik minat ramai orang. Dulu, memang agak sukar untuk temui orang di sana sini memegang atau menggantung di leher sebuah kamera SLR yang besar 'gedabak'. Orang lebih selesa dengan kamera digital biasa yang boleh disimpan di dalam poket atau sarung. Ringan dan mudah. Tetapi mungkin kerana terdapat batasan keupayaan kamera digital biasa, maka DSLR sekarang semakin banyak kelihatan di tangan orang ramai. Satu lagi punca paling jelas, sebuah kamera DSLR sekarang boleh dimiliki dengan harga kurang RM2000. Model asas seperti Canon